Selasa, 16 Februari 2010

Surat Kepada Diriku

Daripada diri Juara kepada diri yang tewas
Semoga sama- sama menjaga diri dan menyayanginya

Wahai diriku yang tewas :

Akulah bernama diri Juara, yang amat kau kenali
Aku datang bersamamu dan bersama kita hidup sebagai pengembara.
Kita adalah saudara tetapi kau sering menyepi.
Aku banyak impian tetapi kau sering bermimpi.

Aku mahu terus kembara
tetapi kau sering melaungkan kesusahanmu
Aku mahu besar sebagai orang berguna
tetapi engkau tetap mahu menjadi kanak - kanak.
Aku mahu mati meninggalkan nama
tetapi engkau mahu terus hidup tanpa bernama.

Wahai diriku yang tewas :

Engkau adalah aku tetapi engkau bukan aku.
Aku mahu engkau menuruti kerana aku adalah JUARA
yang membawamu mengembara ke lurah,tasik dan gunung.
Tubuhku telah banyak yang luka,kakiku telah banyak tercucuk duri.
Aku juga semakin dewasa.
Marilah kita berganding tenaga menuju Kejayaan,
Kecemerlangan dan Kebahagiaan.